(Utusan Sarawak 20 Jun 2002 – Khamis)
MOHAMMAD ABANG
Katanya, kematangan mereka terserlah apabila kesemua pemilihan dan pertandingan jawatan di peringkat bahagian dan cawangan parti berjalan dengan lancar.
Menurutnya, semua ahli sudah mengetahui keupayaan masing-masing tanpa mahu menonjolkan diri dan berebut jawatan dalam pemilihan berkenaan.
“Mereka faham bahawa pertandingan atau pemilihan bukanlah untuk berebut jawatan. Kita rasa bangga melihat keadaan ini kerana berjaya mendidik semua ahli sehingga mereka menjadi ahli yang berdisiplin.
“Disiplin merupakan suatu ciri penting yang telah kita terapkan dalam setiap ahli demi mempertahankan parti serta masa depan negeri ini sehingga kita semua mampu mencapai Wawasan 2020,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Bahagian Beting Maro, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Kalaka dan Krian di Dewan Panglima Rentap di sini hari ini.
(Utusan Sarawak 17 Jun 2002 – Isnin)
IBRAHIM MAHSEN
SIBU, Ahad – Pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sedia ada yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan begitu cemerlang sekali perlu dikekalkan pada Perhimpunan Agung PBB, Julai depan.
Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Haji Adenan Haji Satem berkata, oleh itu jawatan yang disandang oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti tidak perlu dipertandingkan.
Menurutnya, pemimpin berkenaan yang telah membuktikan kewibawaan masing-masing perlu dikekalkan demi memantapkan lagi kekuatan PBB dan berterusan sebagai parti tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Beliau berkata, hampir tiga perempat daripada 62 bahagian PBB di negeri ini yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing menyaksikan tidak ada berlaku pertandingan untuk jawatan tertinggi.
“Saya yakin kita semua (bahagian di Sarawak) akan mengemukakan usul supaya pucuk pimpinan PBB (sedia ada) tidak usah dipertandingkan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada perasmian serentak mesyuarat perwakilan PBB Bahagian Nangka, Bukit Assek, Dudong dan Pelawan di Dewan MMB, Kampung Hilir di sini.
Antara yang hadir ialah Speaker DUN merangkan ADUN Serdeng, Dato’ Haji Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Negeri, Datuk Haji Awang Tengah Ali Hassan.
Hadir sama ialah ADUN N.43 Nangka merangkap Ketua PBB Bahagian N.43 Nangka, Encik Awang Bemee.
Bagaimanapun, Adenan yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, walaupun terdapat pertandingan di peringkat ahli jawatankuasa tetapi ia tidak sengit sangat.
Sehubungan itu menyentuh tentang anggapan sesetengah pihak bahawa amalan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti sebagai tidak demokratik beliau menjelaskan ia adalah tidak tepat.
“Timbul kekeliuran di sini. Tidak bertanding bukan maknya tidak demokratik. Tetapi kalau kita fikir betul-betul orang yang tidak mahu bertanding juga telah membuat pilihan iaitu tidak mahu bertanding.
“Di sini menunjukkan wujudnya kebebasan membuat pilihan di kalangan mereka yang memutuskan tidak mahu bertanding (merebut jawatan tertentu dalam parti),” jelasnya.
Menurutnya, kalau tidak ada pertandingan dianggap sebagai sesuatu yang tidak demokratik maka mana-mana ADUN memenangi pilihan raya tanpa bertanding tidak layak menjadi wakil rakyat.
Oleh itu, katanya, kekeliruan terhadap perkara berkenaan perlu diatasi.
(Mingguan Sarawak 16 Jun 2002 – Ahad)
SANTUBONG, Sabtu – Barisan pemimpin dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sehingga kini telah bekerja keras untuk kepentingan rakyat dan berjaya membuktikan kepada ‘pihak luar’ perjuangan mereka berlandaskan kejujuran, baik dan amanah.
Ketua Menteri merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata: “Walaupun ada propaganda jahat yang mengatakan perubahan yang telah kita capai kononnya hasil kepimpinan dalam PBB yang tidak amanah dan tidak jujur kepada rakyat sehinggakan mereka mengajar rakyat supaya melawan kepimpinan PBB, namun orang yang tahu perjuangan PBB tahu bahawa PBB masih jujur, pemimpin PBB tidak jahat bahkan menjadi lebih baik dalam masa perjuangan 40 tahun dahulu.”
Demikian amanatnya ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Bahagian PBB bagi N.3 Pantai Damai, N.4 Demak Laut, N.5 Tupong, N.6 Satok dan N.7 Samariang di Santubong Resort di sini, hari ini.
Kira-kira 1,000 perwakilan dan pemerhati dari lima bahagian itu menghadiri mesyuarat tersebut.
Datuk Patinggi Taib berkata, hasil dari kemajuan yang dibawa oleh PBB telah memberi kesedaran kepada rakyat sekarang betapa sukarnya perjuangan parti itu untuk mengubah taraf kehidupan rakyat keseluruhannya.
“Untuk mencapai perubahan yang dinikmati sekarang bukanlah perkara mudah bagi PBB kerana parti itu menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan demi mencapai hasrat rakyat,” tegasnya.
Kata Datuk Patinggi Taib, cara pemimpin PBB bekerja bukan dapat dilihat menerusi media massa sebaliknya dilihat dari segi peribadi dan cara-cara mereka bekerja mendidik rakyat dan cuba memperjuangkannya untuk mencapai hassrat rakyat.
“Mereka juga tahu kerana mereka masih ingat bagaimana miskinnya kehidupan mereka pada waktu dahulu dan bagaimana baiknya keadaan hidup mereka pada hari ini. Perubahan baik ini tidak akan berlaku jika PBB tidak jujur. Oleh itu, walaupun pelbagai propaganda dan tohmah serta fitnah dari luar yang tidak tahu dengan politik Sarawak, rakyat tahu membeza yang mana betul dan salah dan yang mana benar atau bohong sehinggalah PBB selamat di dalam perjuangan pilihan raya 1995,” katanya.
Menurutnya, rakyat menolak segala propaganda dan hasutan daripada pihak pembangkang apabila mereka mengetahui penjelasan daripada kerajaan terutama isu tanah. Mereka sedar selagi PBB memerintah, keadaan yang bertambah baik dalam negeri ini akan berkekalan dan masa depan rakyat lebih terjamin.
“Mereka sedar jika PBB rosak tidak ada siapa yang boleh membela nasib kita. Kesedaran ini timbul di dalam masa tiga atau empat tahun lalu. Kita mesti belajar daripada cabaran ini dan kita mesti menyedari bagaimana ank mengatasi cabaran ini dan ia lebih kuat muncul di kalangan anak-anak muda kita,” katanya.
Beliau berkata generasi muda tidak tahu bagaimana teruknya keadaan negeri ini ketika PBB mula memperjuangkan nasib rakyat sehingalah mereka berjaya mengecapi kehidupan seperti sekarang.
Katanya, pemimpin PBB juga mahu melihat generasi muda bergaul antara satu sama lain dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh parti dan sebagainya.
Sehubungan itu beliau mahu lima bahagian PBB itu menjadikan Kuching sebagai model pertemuan sihat di antara anak-anak muda dengan menganjurkan aktiviti sihat.
|
|