KEKALKAN KEUNIKAN

Oleh: Azam Zawawie

Memelihara keindahan taman negara tanggungjawab bersama

 

 

 

 

MIRI, Ahad – Melindungi taman – taman Negara serta memelihara dan memulihara alam semula jadi adalah tanggungjawab setiap warga Negara.

Ketua Menteri Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib Mahmud menyatakan perkara ini ketika merasmikan jejambat kanopi (canopy skywalk) dan kemudahan lain yang dinaiktaraf di Taman Negara Mulu dekat sini hari ini.

“Usaha bersepadu telah dilakukan untuk mentransformasikan Mulu sebagai yang kita saksikan sekarang tetapi untuk menjadikannya unik dan lain daripada destinasi lain, kita perlu memastikan pembangunan tidak menjejaskan taman ini,”katanya.

Mengekalkan keadaan di Mulu adalah kerja yang mencabar tetapi kerja keras itu berbaloi kerana ia kini dijadikan satu daripada Warisan Semula jadi Dunia, katanya.

Usaha sesuatu pihak sahaja tidak akan mencukupi tanpa penyertaan penduduk di kawasan ini, katanya.

“Penduduk tempatan serta pengurusan taman mempunyai tugas berat melindungi tempat ini,” katanya sambil menambah bahawa usaha itu tidak mudah kerana ramai pelancong akan bertumpu di situ untuk menikmati kemudahan yang disediakan.

Sehubungan itu beliau menasihati semua pihak yang terlibat bekerjasama kerana tempat berkenaan adalah milik semua.

“Melindungi tempat ini memerlukan pelbagai strategi,” katanya.

Pehin Sri Taib memuji pengurusan Taman berkenaan kerana membangunkannya mengikut kesesuaian pemuliharaan bagi faedah orang ramai.

Kerajaan Negeri akan memainkan peranannya dengan mempromosikan Mulu menerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Negeri yang akan diperkenalkan tak lama lagi.

Sementara itu, titian kanopi yang merupakan terpanjang di dunia itu, menambahkan lagi daya tarikan taman berkenaan.

Titian kanopi dibina sepanjang 480 dan tergantung 20 meter dari tanah.

Ia dibina oleh masyarakat tempatan dengan nasihat daripada pakar tentang reka bentuk dan strukturnya.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Alfred Jabu, ADUN Telang Usan Lihan Jok, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Lee Kim Shin, Pengarah Urusan Borsarmulu Park Robert Geneid dan Kontroler Taman Negara dan Pemuliharaan Alam Semula jadi Datu Cheong Ek Choon.