Manfaat inisiatif tempatan
oleh: Linda Khoo Hui Li
"Residen, Timbalan Residen, Pegawai Daerah perlu proaktif" - Taib

FOTO : AWANG KUSHAIRY JUNAIDI
KUCHING, Selasa – Semua Residen dan Pegawai Daerah hari ini disaran supaya mengenalpasti kekuatan pentadbiran di kawasan masing-masing dalam usaha memperkukuhkan pembangunan di peringkat bahagian dan daerah negeri ini.
Ketua Menteri Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib Mahmud berkata Residen, Timbalan Residen, dan Pegawai Daerah memikul tanggungjawab sebagai barisan hadapan yang memainkan peranan sebagai pemangkin, penyelaras dan pemudahcara pembangunan sesebuah bahagian dan daerah.
“Mereka harus memainkan peranan yang lebih proaktif terutamanya ketika tanggungjawab yang dipikul semakin kompleks dan mencabar.”
“Mereka harus mengenalpasti kekuatan pentadbiran agar dapat berdepan dengan cabaran dan peluang ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Persidangan Residen, Timbalan Residen dan Pegawai Daerah Negeri Sarawak 2005 anjuran Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU) dan Jabatan Ketua Menteri di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr George Chan Hong Nam, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Haji Abdul Aziz Dato Haji Husain, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Sri Haji Mohd. Asfia Awang Nassar, Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Jemut Masing dan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Datuk Michael Manyin Jawong.
Persidangan dua hari bertemakan “Memajukan Bahagian: Memanfaatkan Inisiatif Tempatan Menerusi Residen dan Pegawai Daerah” telah dihadiri oleh Residen, Timbalan Residen, dan Pegawai Daerah dari Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
Selain itu, Taib menggesa Pegawai Daerah di negeri ini untuk memaklumkan kepada Residen masing-masing mengenai sebarang kelewatan atau kegagalan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing.
“Ini penting untuk memastikan penambahabaikan dilakukan segera di peringkat awal. Dengan ini, semua projek dapat dilaksanakan mengikut masa bagi mendapatkan keyakinan rakyat,” katanya.
Pehin Sri Taib berkata, setiap barisan hadapan jentera pembangunan kerajaan perlu peka dengan perubahan tersebut dan berusaha membangunkan diri mereka sendiri.
“Kaedah membangunkan sesuatu kawasan kini semakin canggih dan ia menggunakan pelbagai teknologi tinggi serta cara yang lebih rumit.”
“Kerjasama barisan hadapan perlu bagi memastikan projek yang dirancang sesuai dengan kawasan berkenaan serta memenuhi segala keperluan pembangunan,” katanya.
Selain itu, Pehin Sri Taib menggesa semua pegawai agar berfikiran terbuka dan mengambil inisiatif untuk membawa pembangunan di peringkat bahagian dan daerah.
Beliau berkata Sarawak kini melalui arus pembangunan Gelombang Kedua yang menuntut ramai tenaga kerja yang berkebolehan, berpengetahuan dan berdedikasi.
“Untuyk memastikan semua jentera pentadbiran berjalan dengan lancer, semua pegawai harus melngkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran relevan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Pada majlis yang sama, Taib turut melancarkan sistem pemantauan projek baru (NPMS) bagi menggantikan Sistem Pemantauan Pelaksanaan Projek (SPIM) yang digunakan sejak tahun 2000.
Beliau telah menamakan sistem “Sarawak Monitor. Sistem tersebut dijangka digunakan sepenuhnya oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri mulai November ini untuk memantau semua projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-9.