PELIHARA PERJUANGAN PBB

Oleh: Amrizan Madian

FOTO: AWANG KUSHAIRY JUNAIDI

 

 

 

KOTA SAMARAHAN, Ahad – Pemimpin serta ahli-ahli dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diingatkan agar tidak terlalu megah dan bangga dengan kejayaan parti ketika ini sehingga mereka leka dan lupa kepada tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.

            Ketua Menteri, Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib Mahmud yang juga presiden PBB berkata, dua perkara utama harus dipelihara dan dikekalkan oleh pemimpin dan ahli dalam PBB iaitu menjaga kesucian perjuangan parti dan mengekalkan perpaduan dalam parti sekiranya mahu melihat PBB kekal sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) di Sarawak.

            Pehin Sri Taib berkata, PBB akan berhadapan dengan masalah sekiranya pemimpin dan ahlinya hanya bersemangat atas nama PBB sahaja sebaliknya lupa kepada disiplin dalam parti.

            “Parti kita hari ini berada di landasan yang betul…kita tidak mahu main politik kotor sebaliknya kita mahu rakyat bersatu, bekerjasama kerana tujuan kita adalah sama iaitu untuk memperjuangkan nasib rakyat dan negeri ini,” katanya.

            Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Bersama PBB Bahagian N8 Padungan, N9 Pending, N10 Batu Lintang, N12 Asajaya, N13 Muara Tuang, N18 Sadong Jaya, N19 Simunjan dan N20 Sebuyau di Dewan Suarah Sarahan di sini,hari ini.

            Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri selaku Timbalan Presiden I, PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang, Timbalan Presiden II PBB, Dato Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Haji Adenan Haji Satem.

            Pehin Sri Taib berkata, PBB sebagai sebuah parti yang paling kuat dan berjaya di Sarawak sejak 45 tahun lalu sentiasa memastikan perpaduan rakyat di negeri ini berkekalan.

            Beliau berkata, PBB turut bekerjasama rapat dengan semua komponen BN di Sarawak.

            Oleh sebab itu beliau berkata, PBB tetap berpegang kepada prinsip menjaga hubungan dengan komponen BN yang lain dengan memastikan PBB tidak memaksa rakyat menyertai PBB.

            “Kita boleh membawa masuk seberapa banyak ahli yang kita mahu… tetapi dalam BN kita mempunyai prinsip kita sendiri iaitu menjaga perpaduan dalam parti dan komponen parti BN yang lain,” ujarnya.

            Dalam pada itu Pehin Sri Taib berkata, proses demokrasi yang diamalkan dalam PBB hari ini adalah sihat dengan sejajar dengan amalan dan budaya dalam PBB.

            Jelas beliau, apa gunanya demokrasi sekiranya ia hanya akan memecahbelahkan perpaduan di dalam parti itu sendiri.

            “Usaha untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi dalam PBB merupakan cara terbaik yang pernah kita buat sejak 45 tahun yang lalu… kenapa kita harus menukar cara yang baik ini kalau ia telah berbukti membawa perpaduan yang lebih kukuh dalam parti,” katanya.

            Kira-kira 2,000 perwakilan dari lapan bahagian PBB hadir pada majlis tersebut.

            Pada majlis yang sama lapan bahagian terbabit turut mengemukakan empat usul iaitu, Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib Mahmud dikekalkan sebagai Yang Di Pertua Parti PBB Sarawak, mengekalkan penyandang jawatan Timbalan-timbalan Yang Di Pertua Parti PBB melainkan jawatan tersebut dikosongkan.