SRI AMAN DIPERMODEN
Oleh: Amrizan Madian
"RMK9 saksikan rejuvinasi bandar yang sudah uzur dan sesak" - Taib

FOTO : JEFRI BAKERI
SRI AMAN, Isnin – Pelan induk pembangunan semula Bandar Sri Aman akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kata Ketua Menteri Pehin sri Dr. Haji Abdul Taib Mahmud, hari ini.
Pehin Sri Taib berkata, Bandar Sri Aman akan dibangunkan semula dengan infrastruktur yang lebih moden kerana kemudahan yang sedia ada sudah terlalu uzur dan sesak.
Beliau berkata, beberapa bangunan pejabat yang baru, jalan, pasar selain kemudahan hotel yang lebih moden akan dibinan di Bandar Sri Aman sesuai dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran utama dibahagian Kedua.
“Bandar Sri Aman perlu diperluaskan lagi kerana Bandar yang sedia ada sudah terlalu sesak dan kita sedang merancang satu pelan induk pembangunan Bandar Sri Aman akan dimasukkan dalam “Rancangan Malaysia kesembilan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum itu beliau telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N21 Beting Maro, N22 Bukit Begunan, N 23 Simanggang, N24 Engkilili, N 25 Batang Ai, N26 Saribas, N27 Layar, N 28 Kalaka dan N29 Krian.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.
Dalam pada itu ketika berucap pada majlis itu Pehin Sri Taib berkata, pertumbuhan sektor pertanian di sekitar Sri Aman turut mendorong kerajaan untuk membangunkan semula Bandar Sri Aman.
Katanya, Bandar Sri Aman ketika ini menjadi tumpuan para pelabur yang datang melabur dalam sektor pertanian khasnya sektor perladangan kelapa sawit.
Menurut Pehin sri taib, Bahagian Sri Aman dan Betong iaitu dari Lingga ke Beladin merupakan kawasan penanaman utama kelapa sawit ketika ini.
“Kita percaya Sri Aman akan maju dan lebih banyak pelabur dan pelawat akan datang ke sini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu menyentuh tentang perjuangan PBB, Pehin Sri Taib berkata, selain tumpuan kepada sektor ekonomi, PBB kini turut memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat.
Beliau berkata, pendidikan merupakan asas yang paling penting ketika ini kerana ia merupakan salah satu asas utama dalam mengubah nasib rakyat.
Katanya, kekayaan yang diwarisi, modal yang banyak selain tanah yang luas bukan lagi satu jaminan kepada kejayaan sesuatu generasi pada masa akan datang.
“ Kita percaya tidak semua rakyat di negeri ini mempunyai kekayaan, modal yang banyak dan tanah yang luas untuk mengubah nasib mereka, namun kita yakin dengan ilmu pengetahuan mereka boleh keluar daripada masalah kemiskinan,” katanya.