TRANSFORMASI PERTANIAN
Oleh: Linda Khoo Hui Li
"Kita perlu lahirkan sumber tenaga manusia berilmu untuk memodenisasikan sektor pertanian"-Taib

FOTO: NORDIN MD DIAH
SANTUBONG, Selasa- Satu transformasi perlu dilaksanakan untuk melahirkan sumber tenaga manusia berilmu bagi memodenisasikan sector pertanian dalam negeri ini, kata Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud hari ini.
Beliau berkata, walaupun Sarawak yang mempunyai kekuatan tersendiri seperti keluasan tanah untuk memajukan sektor pertanian tetap penglibatan orang ramai masih dingin.
“Jangan anggap sektor pertanian ini perkara leceh dan tidak akan memberi pulangan baik kepada kita. Sektor pertanian merupakan satu bidang yang setaraf dengan sektor lain kerana memerlukan pekerjamahir dan berilmu.”
“Sehubungan itu, kita perlu melahirkan sumber tenaga manusia berilmu untuk memodenisasikan sektor pertanian agar mencapai matlamat transformasi pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Peluang dan Penglibatan Belia Dalam Pertanian Komersial 2005, anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Jabatan Pertanian Sarawak di sini, hari ini.
Seminar berteme ‘Pertanian Suatu Perniagaan’ itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai potensi, peluang perniagaan dan kerjaya dalam bidang pertanian.
Seminar dua hari tersebut bertujuan untuk menggalakkan golongan belia dalam seminar ini untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian secara komersial pada masa akan datang.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan Dato Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg, Menteri Muda Sukan dan Pertanian (Penyelidikan dan Penyelarasan) Dublin Unting Ingkort, Setiausaha Agung SABERKAS Aidan Wing dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumahtangga dan Latihan) Datin Hajah Fatimah Abdullah.
Selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memajukan 1 hektar kelapa sawit di Negara ini, Pehin Sri Taib menggalakkan penduduk di negeri ini untuk menceburi dalam penanaman kelapa sawit bagi menghasilkan minyak alternative.
Beliau berkata, pemprosesan kelapa sawit boleh digunakan untuk menjadi minyak bio untuk menggerakkan kenderaan.
“Penggunaan kelapa sawit tidak harus terhad sebagai minyak masak sahaja sebaliknya ia berpotensi untuk menjadi satu lagi sumber tenaga, petroleum ringan.”
“Memandangkan harga minyak pasaran global semakin meningkat, golongan petani tempatan harus memanfaatkan scenario ini dengan menanam kelapa sawit untuk mengkomersialkan minyak bio tempatan,” katanya.
Sementara itu, Pehin Sri Taib berkata, beberapa isu memajukan dan memodenisasikan sektor pertanian di negeri ini perlu diatasi agar menjadi Sarawak negeri pertanian maju dalam Negara.
Antaranya ialah penyusunan semula sektor pertanian kecil ke arah komersial dan menggiatkan penggunaan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti, kata beliau.
“Dengan adanya komersialisasi sektor pertanian, kita boleh menggunakan teknologi makanan untuk menghasilkan produk makanan Halal bagi menembusi pasaran-pasaran Negara Islam,”katanya.