WUJUDKAN JIRAN MESRA

Oleh: Serena Haidir

Pemaju perumahan digesa utamakan kawasan perumahan selamat dan selesa

 

 

KUCHING, Isnin – Ketua Menteri, Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib Mahmud hari ini mengesa pemaju perumahan berkonsepkan ‘kejiranan mesra’.

Beliau berkata, konsep perumahan tersebut harus mengutamakan suasana kawasan perumahan yang selamat dan selesa untuk didiami oleh pembeli.

“Selain dari mengekalkan kualiti rumah, kita harus menyelitkan juga konsep kejiranan yang baik antara rakyat.”

“Kita mahu mewujudkan konsep perumahan yang mempunyai jiran – jiran yang mesra, di mana setiap penghuni rumah itu adalah baik kepada jiran tetangga, kanak – kanak dapat hidup dalam keadaan aman dan ceria,”katanya.

Pehin Sri Taib berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Seminar Perintis Konsep Baru Rumah Mampu Milik di Sarawak di sini hari ini.

Pehin Sri Dr. Taib berkata, beliau juga optimis dengan masa depan industri permumahan di negeri ini di mana menurutnya, pemaju perumahan seharusnya merebut peluang yang terbuka luas dengan cepat.

Beliau berkata, dengan kekayaan dan keluasan tanah yang masih banyak di negeri ini, membolehkan pemaju perumahan membina konsep yang lebih baik seperti konsep yang dicadangkan itu.

Dalam ucapan yang sama, Pehin Sri Taib turut menasihati pemaju perumahan supaya melakukan kajian mengenai pasaran perumahan.

Beliau berkata, hanya dengan melakukan kajian akan memudahkan pemaju mengenal pasti cita – rasa pembeli dan pengenalan konsep – konsep baru dalam industri perumahan.

Menurut beliau, permintaan pembeli pada hari ini ternyata berubah jika dibandingkan tahun – tahun kebelakangan dahulu.

“Kajian ke atas pasaran adalah untuk melihat permintaan rakyat (pembeli) pada masa sekarang dan hadapan di samping memastikan pemaju perumahan dapat membina rumah yang diminati oleh pembeli,”

“Ini juga sebagai satu langkah kepada pemaju untuk mengelak daripada kerugian disebabkan unit rumah yang lambat dijual.” Katanya.

Pehin Sri taib berkata, pemaju juga perlu menitikberatkan aspek hubungan social dalam rekaan mereka.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian masalah, pihak pemaju dan pembeli perlu sentiasa mengadakan rundingan sebelum satu – satu projek perumahan dilaksanakan.