PBB Sepintas Lalu

Parti Pesaka  Bumiputera Bersatu (PBB) pada asalnya ditubuhkan daripada percantuman tiga buah parti di Sarawak iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).

Percantuman ini adalah  berdasarkan perjuangan untuk meningkatkan kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Sejarah awal penubuhan PBB adalah atas ilham dan inisiatif Setiausaha Agung BARJASA yang muda dan idealistik ketika itu iaitu Ketua Menteri dan Presiden PBB sekarang, iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

PANAS merupakan parti politik kedua ditubuhkan di Sarawak pada 9 April 1960.  Ia diasaskan  oleh Datu Bandar Abang Haji Mustapha kira-kira 10 bulan selepas Parti Bersatu Rakyat  Sarawak (SUPP), parti  politik  pertama di Sarawak didaftarkan.

Pada peringkat permulaannya, parti ini tidak mendapat sokongan yang menggalakkan daripada orang Melayu sendiri tetapi selepas dua tahun, PANAS mula diterima apabila seramai 62,795 ahli menganggotainya.

Ketika itu PANAS sudah menubuhkan 65 cawangan di seluruh negeri dan dianggotai kira-kira 20,000 orang Melayu, 20,000 suku kaum Iban, 10,000 suku kaum Bidayuh  termasuk  beratus orang lain daripada kaum Cina.

Setelah pendaftaran PANAS diluluskan secara rasmi pada 9 April 1960, Datu Bandar Abang Haji Mustapha dilantik sebagai Pengerusi dan adiknya  Abang Othman dilantik sebagai Setiausaha Agung.  Abang Othman meletakkan jawatan  sebagai Timbalan Penguasa Polis untuk sama-sama mengasaskan  parti tersebut.

PANAS mendukung tujuan melindungi, memelihara dan  memajukan kepentingan politik, pelajaran, keagamaan, ekonomi, sosial dan kebudayaan rakyat seluruh negeri khasnya bumiputera.

Diantara tokoh yang menjadi  tulang belakang PANAS ialah seperti Tan Sri Datuk Ikhwan Zaini selaku  Ahli Majlis Tertinggi, Naib-Naib Pengerusi ialah William Tan, Edward Jerah dan Austin Jaya. 

Manakala Penolong Setiausaha Agung disandang oleh Lo Foot Kee dan Andrew Landau.  Bendahari pula ialah Tan Tsak Yu dan penolongnya  Leong Ho  Yuen.  Ahli-Ahli Jawatankuasa terdiri daripada  Penghulu Haji Dol Osman, Abong Taib, Jalel Ubong, Stephen Harry, Edward Menlis, Sim Peng Cho, Chin Poh Luke dan Ngui Ah Sin.

BARJASA ditubuhkan pada  Disember 1961 sebagai alternatif  kepada masyarakat Islam dan mendapat sokongan kuat daripada  orang Melayu dan suku kaum Melanau  daripada bahagian Sri Aman dan Sibu. Ia dipengerusikan oleh Tuanku Haji Bujang dan Encik Alfred Unteng Mason selaku  Setiausaha Agung.

Penyertaan keahlian kebanyakannya  daripada golongan muda yang berpelajaran.  Diantara  mereka ialah  Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib Mahmud.Beliau adalah  diantara beberapa tokoh  yang memainkan peranan dibelakang  tabir BARJASA  untuk menggerakkan  jentera parti.

PESAKA  atau dikenali juga  sebagai PAPAS ditubuhkan  pada Julai 1962 dan merupakan parti kedua  kaum Iban selepas  Parti Kebangsaan Sarawak  (SNAP) didaftarkan  pada Mac 1961.  Ia  ditubuhkan untuk  menentang  SNAP yang mendapat sokongan  kuat daripada kaum Iban Sibu.

Tun Jugah yang dulunya  menganggotai PANAS meninggalkan  parti tersebut untuk  bersama-sama  empat orang pemimpin  daripada kaumnya iaitu dari Sibu mengasaskan PESAKA.

Sebelum pilihanraya negeri yang pertama  pada Januari 1963, BARJASA, SNAP, PESAKA dan SCA (Persatuan Cina Sarawak) membentuk sebuah Parti Perikatan  pada Julai 1962.  Ia dipengerusikan oleh Tun Jugah dan Datuk Stephen Kalong Ningkan sebagai Setiausaha Agung.

Walau bagaimanapun  PANAS menarik diri daripada Perikatan menjelang pengundian  untuk menyertai parti pembangkang iaitu SUPP. Selepas pilihanraya, Parti Perikatan ternyata  mendapat keputusan  yang menyakinkan  dan membentuk Kabinet Negeri  yang pertama dan Datuk Kalong Ningkan  dilantik menjadi Ketua Menteri   pertama  manakala Tun Jugah  dilantik  menganggotai  Kabinet Persekutuan  di Kuala Lumpur selaku Menteri Hal Ehwal Sarawak.

Diantara tahun 1963 dan 1966, politik Sarawak mengalami pergolakan  yang hebat disebabkan  terlalu banyak  parti politik  sehingga mencetuskan  krisis demi krisis  yang sesetengahnya  berbau perkauman.  Krisis ini akhirnya tamat dengan pengyingkiran  Datuk Ningkan sebagai  Presiden SNAP.

Menggantikan  tempat Datuk Ningkan  sebagai Ketua Menteri baru  ketika itu  ialah Penghulu Tawi Seli.  Didalam kabinetnya  mempunyai tiga orang ahli PESAKA  termasuk beliau sendiri, dua ahli BARJASA termasuk Datuk Patinggi Taib dan seorang ahli PANAS.  PANAS  menyertai semula perikatan  hanya sebelum  pengyingkiran  Datuk Ningkan.

Sarawak mencapai satu  satu lagi kemajuan  didalam politik  apabila BARJASA dan  PANAS bercantum  membentuk Parti  Bumiputera dalam bulan Mac 1968.  Datuk Patinggi Taib menjadi penggerak  utama kearah  percantuman itu.

Parti Bumiputera diketuai oleh Allahyarham  Tan Sri Datuk Amar Abang Ikhwan Zaini  dengan Datuk Taib memegang jawatan Setiausaha Agung.

Kekuatan parti dan perpaduan terus diperkukuh  apabila Parti BUMIPUTERA dan PESAKA bercantum melahirkan Parti PBB pada 30 April 1973.

Tun Jugah yang pada ketika itu selaku Menteri Hal Ehwal  Sarawak telah dilantik sebagai Presiden pertama  PBB.

Datuk Patinggi Taib  memegang jawatan Presiden PBB secara  automatik apabila memenangi  jawatan Presiden tanpa bertanding  pada 1981 sehingga sekarang.

Kewujudan parti ini sebagai satu  komponen terbesar dalam Barisan Nasional Negeri telah mengukuhkan  lagi kedudukan  Bumiputera.

Sejak penubuhannya, keahlian PBB telah meningkat  dengan banyaknya sehingga kini dalam 56 Bahagian,  ahli-ahli telah  menjangkau 300,000 orang  dengan lebih 1,000  cawangan di seluruh negeri.  Ia disokong penuh oleh kaum Bumiputera terutama golongan  Melayu-Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.